HYPERLINK :-







TAUHID (B.M)
Rukun iman terdiri daripada enam perkara:
1.    Kepercayaan kepada Allah
2.    Kepercayaan kepada Malaikat
3.    Kepercayaan kepada Kitab
4.    Kepercayaan kepada Rasul
5.    Kepercayaan kepada hari qiamat
6.    Kepercayaan kepada ketentuan dan pelaksaan Allah yang baik dan buruk

Kepercayaan kepada Allah ada empat teras utama:

1.    Zat Allah (ada sepuluh asas)
2.    Sifat Allah (ada sepuluh asas)
3.    Perbuatan Allah (ada sepuluh asas)
4.    Samiyat (ada sepuluh asas)

Teras Pertama : Zat Allah (ada sepuluh asas)

Asas Pertama: Mengetahui tentang kewujudan Allah S.W.T

Sebelum kita mengetahui kewujudan Allah, kita perlu menghuraikan  beberapa fakta tentang kewujudan selain Allah terlebih dahulu kerana ia boleh dipandang atau dilihat di sekeliling kita seperti diri kita, pokok, haiwan, bumi dan lain-lain atau yang lebih jauh dari itu seperti langit, bintang dan bulan. Kejadian selain Allah itu dipanggil kejadian makhluk dan alam.

Ciri-ciri kewujudan makhluk dan alam:
1.    Ia memerlukan penyebab (sebab)  di mana semua  penyebab kejadian  bergantung kepada kerangka masa (time frame) sama ada pada masa yang lepas, sekarang  atau akan datang.
2.    Ia mesti boleh berada dalam dua keadaan iaitu bergerak dan diam (tidak bergerak). Apabila kejadian itu bergerak, bermakna ia tidak diam. Apabila ia diam, ini bermakna ia tidak bergerak. Sifat bergerak dan diam menunjukkan berlakunya penggantian. Setiap yang silih berganti akan mempunyai tempoh tamat / luput  dan akan  terjadilah perubahan pada jumlah iaitu bilangan akan menjadi genap atau ganjil. Semua ini  adalah mustahil pada kewujudan Allah, jika proses ini terjadi pada Allah sudah tentu lemahlah tuhan itu kerana ada penyerupaan dengan makhluk dan alam.
3.    Jika ada orang yang berpendapat bahawa kejadian makhluk dan alam ini boleh  bergerak dan diam pada satu masa, maka ini adalah mustahil dan itu adalah fikiran yang bodoh.

Zat Allah  adalah bebas (suci) daripada ciri-ciri di atas. Maha Suci Allah, Ia adalah zat yang tidak ada penyebab kewujudanNya. Ia tidak bergerak dan tidak diam, yang tidak tercapai oleh imaginasi manusia. Jika sesiapa membayangkan Allah itu bergerak dan diam seperti yang di atas, maka dia sudah syirik.

Jika manusia sudah mensucikan fikirannya dan membulatkan hatinya tentang kewujudan Allah yang wujudnya tidak menumpang pada mana-mana makhluk dan alam yang lain, maka sifat kewujudan Allah ini dipanggil nafsiyyah yang wajib wujud (mesti wujud).

Asas kedua:  Mengetahui tentang sedia ada Allah (qodim) iaitu Allah  sedia ada (memang ada) yang mana kewujudanNya itu tidak ada permulaan, setiap yang ada permulaan  memerlukan penjadi dan tempoh masa kejadian, ini  mustahil berlaku pada Allah.

Ciri-ciri makhluk dan alam:

1 .  Makhluk dan alam itu ada permulaan pada kejadiannya, setiap yang ada permulaan itu memerlukan usaha penjadinya, usaha penjadi ini pula perlu kepada usaha penjadi yang lebih awal lagi, begitulah seterusnya yang tidak berkesudahan, maka kejadian bertali-tali ini adalah mustahil pada kewujudan Allah, jika Allah adalah sebegini sudah tentu Allah lemah. Setiap yang lemah yang mengharap kepada penjadi itu bukanlah Allah.

2 .  Makhluk dan alam juga mungkin disebut orang dengan perkataan qidam, tapi harus kita tahu bahawa qidam makhluk dan alam itu adalah bertempoh (zaman) iaitu ada permulaan dan akan berakhir. Ini dipanggil qidam idhofi seperti apabila orang sebut bahawa bapa qidam daripada anak (qidam di sini bermaksud dahulu).

3.   Makhluk dan alam perlu  melalui proses kejadian seperti proses pembiakan (beranak) dan  proses  pembuatan (seperti perabot, kereta, buku di kilang dan lain-lain) yang memerlukan tempoh masa  yang tertentu. Tidak ada satu akal pun yang mengatakan proses kejadian makhluk dan alam tidak perlu melalui satu tempoh masa yang tertentu.

Zat Allah bebas daripada ciri-ciri di atas. Mungkinkah makhluk dan alam ini wujud lebih awal daripada Allah? Jawapannya sudah tentu TIDAK. Yang mencipta lebih dahulu daripada yang dicipta, oleh itu Allah adalah zat yang mencipta makhluk dan alam kesemuanya, yang telah sedia ada semenjak azali lagi (azali bermaksud zaman sebelum adanya apa-apa pun selain Allah).

Kadang-kadang manusia berfikir: bagaimana Allah boleh wujud begitu sahaja dan  bagaimana tuhan tidak ada permulaan? Jika akal tertanya-tanya seperti ini, maka segera alihkan pemikiran itu ke arah kejadian Allah kerana Rasulullah saw bersabda, ”Renung dan fikirkanlah pada ciptaan Allah, jangan kau fikirkan pada zat dan diri Allah, kamu akan binasa”. Orang yang sentiasa bertanya ”Siapa yang mencipta Allah?” hendaklah kembali berkata ”Aku beriman kepada Allah ”. Inilah tindakan yang bijak yang dapat menyelamatkan dirinya daripada terjerumus ke dalam syirik terhadap zat  Allah. Maha Suci Allah daripada apa yang kamu sifatkan.
   
Perbincangan sifat qidam adalah termasuk dalam sifat salbiyyah yang mengawal prasangka negatif manusia terhadap Allah yang mungkin menyerupakan Allah dengan ciri-ciri makhluk dan alam di atas tadi.




Bersambung…

Oleh,
Asta Zawawi