HYPERLINK :-







SAHABAT NABI

ABU BAKAR R.A

Abu Bakar as-Siddiq r.a. adalah khalifah Rasulullah s.a.w.  Beliau merupakan antara orang yang awal memeluk agama Islam dalam kalangan orang dewasa. Beliau juga adalah khalifah pertama dalam senarai 
Khulafa’ Ar-Rasyidin. Nabi s.a.w pernah berkata, “Abu Bakar ini atiq dari api neraka”, maknanya beliau adalah orang yang bebas dari neraka. Sejak itu, beliau dinamakan atiq, dan termasuk dalam senarai 10 orang sahabat yang dijamin masuk ke syurga. Abu Bakar r.a. juga digelar as-Siddiq kerana merupakan orang pertama mengakui kebenaran Nabi s.a.w melakukan isra’ dan mikraj.
Abu Said al-Kudri berkata: “Abu Bakar adalah orang yang paling alim dalam kalangan kami”. Beliau meriwayatkan hadis daripada Rasulullah sebanyak 142 hadis”.

UMAR BIN KHATTAB R.A.

Beliau ialah Umar al-Faruq, pemimpin mukminin, Khalifah ar-Rasyidin yang kedua, juga seorang daripada 10 orang sahabat yang dijamin masuk syurga oleh Rasulullah s.a.w.
Ibnu Mas’ud berkata: “Sesungguhnya Allah menjadikan kebenaran ada pada lidah umat dan hatinya”. Khalifah  Ali r.a. berkata,  “Setahu aku yang berhijrah adalah bersembunyi-sembunyi, kecuali Umar. Ketika dia hendak berhijrah, dia menyandang pedang dan meletakkan anak panah di bahunya dan datang ke Kaabah tempat orang Quraisy berkumpul, dan tawaf dan solat 2 rakaat di Maqam Ibrahim, setelah itu dia pergi jumpa orang Quraisy dan berkata, ‘Siapa yang ingin kehilangan ibu, kehilangan anak, ingin anak menjadi yatim, isteri menjadi janda, temuilah aku di lembah ini. Maka tidak seorangpun yang berani’ ”.
Umar al-Khattab meriwayatkan sebanyak 539 hadis, puluhan sahabat dan tabi’in meriwayat hadis daripada beliau.

UTHMAN BIN AFFAN R.A.

Beliau ialah Abu Abdullah Uthman bin Affan bin Abi al-Ash, seorang  Amirul Mukminin. Khalifah ar-Rasyidin yang ketiga dan menjadi khalifah selama 12 tahun. Beliau juga salah seorang yang terdahulu memeluk Islam.
Beliau berkahwin dengan dua orang anak Rasulullah s.a.w iaitu Rukaiyah dan Ummi Kalsom menyebabkan beliau dipanggil  zun nuraini.
Uthman r.a. juga termasuk 10 orang yang dijamin syurga oleh Nabi s.a.w. , suka menderma dan mewakafkan perigi Raumah yang dibeli daripada orang Yahudi. Beliau telah meriwayatkan 146 hadis nabi s.a.w, ramai sahabat dan tabi’in meriwayat hadis daripadanya. Pada akhir hayat beliau rumahnya dikepung oleh pemberontak dan membunuhnya sedang dia membaca al-Quran. Uthman r.a. mati syahid pada hari Jumaat bersamaan 18 Zulhijjah tahun 35 Hijrah.

ALI BIN ABI THALIB R.A.

Ali bin Abi Thalib  merupakan Khalifah yang ke-empat daripada Khalifah ar-Rasyidin, juga seorang Amirul Mukminin. Beliau berkahwin dengan anak Rasulullah saw iaitu Fatimah az-Zahra dan mempunyai dua orang anak iaitu Hassan dan Hussin. Beliau termasuk dalam kalangan 10 orang sahabat yang dijamin syurga.
Pada malam hijrah Rasulullah saw, Ali r.a. tidur menggantikan Rasulullah saw di baringan.  Ali r.a. terlibat dalam semua peperangan bersama Rasulullah saw kecuali Perang Tabuk. Hadis yang diriwayatkan oleh Ali r.a. adalah sebanyak  586 hadis. Ramai sahabat dan tabi’in meriwayatkan hadis daripada beliau. Pada 17 Ramadhan 40 Hijrah,  Ali r.a. wafat sebagai sorang syahid.


UBAY  BIN KAAB R.A.

Ubay bin Kaab bin Qais bin Ibaid al-Ansari digelar oleh Rasulullah s.a.w sebagai Abu Munzir. Beliau telah menyertai Bai’ah Aqabah Kedua bersama 70 orang Ansar. Beliau ikut berperang dalam Perang Badar Kubro dan perang-perang yang lain. Beliau adalah penulis pertama Rasulullah s.a.w.
Baginda s.a.w bersabda, “Umatku yang paling hafal al-Quran ialah Ubay bin Kaab”.
Rasulullah s.a.w berkata, “Ambillah al-Quran daripada empat orang iaitu Abdullah bin Mas’ud, Salim Maula Abi Huzaifah, Muad bin Labal dan Ubay bin Ka’ab”.
Beliau meriwayatkan sebanyak 164 hadis. Sejumlah besar sahabat dan tabi’in  meriwayatkan hadis daripadanya. Beliau wafat pada tahun 30 Hijrah.


ABDUL RAHMAN BIN AUF R.A.

Beliau ialah Abu Muhamad Abdul Rahman bin Auf az-Zuhri al-Qurasyi.  Beliau termasuk 10 orang sahabat yang dijamin syurga. Beliau memeluk Islam sebelum Rasulullah saw. datang ke rumah Arqam bin Abi Arqam. Beliau termasuk lapan orang yang terawal memeluk Islam  dan termasuk di dalam kumpulan lima orang yang memeluk Islam di tangan Abu Bakar r.a.
Beliau berhijrah ke Habsah dan Madinah. Rasulullah saw. Berkata, “Abdul Rahman adalah orang yang dipercayai di langit dan di bumi”. Beliau mengikuti Rasulullah saw. dalam Perang Badar, Perang Uhud, Perang Khandaq, Perang Bai’ah Ridhwan  dan peperangan yang lain. Dalam Perang Uhud, beliau mengalami 21 luka, antaranya kaki dan gigi yang patah.
Beliau ialah seoarang peniaga dan memiliki harta yang banyak yang diimfak ke jalan Allah. Beliau memberi imfak kepada Rasulullah saw. Pada  mulanya 4000, kemudian 40 000, kemudian 40 000 dinar, kemudian 500 ekor kuda dan 500 ekor unta. Beliau meriwayat sebanyak 65 hadis dan wafat pada tahun 32 Hijrah di makam di Baqi’.


ABDULLAH BIN MAS’UD  R.A.

Beliau ialah Abu Ibaid Ar-Rahman Abdullah bin Mas’ud Al-Huzali dan telah memeluk Islam sebelum Umar r.a  memeluk Islam. Beliau mengikuti kumpulan berhijrah ke Habsah dan Madinah, menyertai Perang Badar, Perang Uhud,Perang Khandak, Perang Bai’ah Ridhwan, Perang Yarmouk dan peperangan lain bersama Rasulullah s.a.w.
Beliau meriwayatkan sebanyak 848 hadis, antara sahabat yang meriwayatkan hadis daripada beliau ialah Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Zubair, Abu Musa Assyari, Anas, Zubir, Imran dan Abu Hurairah. Beliau wafat pada tahun 32 Hijrah.


ABU MUSA AL-ASYARI  R.A.

Beliau ialah  Abu Musa Abdullah bin Qais al-Asyari al-Kufi. Beliau berhijrah tiga kali iaitu dari Yaman ke Mekah untuk memeluk Islam, dari Mekah ke Habsah  dan dari Madinah ke Habsah, dikenal sebagai ahli hijrah 3 kali. Abu Musa mahir dalam peperangan dan turut bersama Rasulullah saw dalam  berperang. Antara peperangan yang diikuti bersama Rasulullah saw ialah Perang Zatriqaq di mana dalam peperangan ini beliau menceritakan kaki-kaki mereka yang bernanah dan kuku-kuku menggelupas sehingga dibalut kerana robek, maka perang itu dinamakan Perang Zatriqaq. Beliau meriwayatkan sebanyak 860 hadis.


MUAZ BIN ZABAL  R.A.

Beliau ialah Abu Abdul Rahman Muaz bin Jabal, memeluk Islam pada usia 18 tahun, dan ikut serta dalam Bai’ah Aqabah Kedua. Beliau ikut serta dalam Perang Badar, Perang Uhud, Perang Khandaq dan lain-lain.
Beliau termasuk empat orang pengumpul al-Quran yang mana Rasulullah saw berkata, “Ambillah al-Quran daripada empat orang iaitu Abdullah bin Mas’ud, Salim Maula Abi Huzaifah, Muad bin Labal dan Ubay bin Ka’ab”.
Nabi s.a.w berkata, “Orang yang paling tahu tentang halal dan haram dalam kalangan umatku ialah Muaz bin Jabal”.
Beliau meriwayatkan sebanyak 157 hadis dan wafat sebagai seorang syahid kerana penyakit taun pada tahun 18 Hijrah.


ABDULLAH BIN SALAM  R.A.

Beliau ialah Abu Yusuf Abdullah bin Salam bin Al-Harith Ansari dari keturunan Yusuf bin Yaakub bin Ishak bin Ibrahim a.s.  Beliau memeluk Islam pada awal kedatangan Nabi saw  ke Madinah. Ketika Abdullah bin Salam berdiri di hadapan Nabi saw untuk masuk Islam , beliau berkata, “Aku bersaksi bahawa Engkau Rasulullah, engkau datang dengan membawa agama yang benar”. Kemudian Rasulullah saw memanggil orang Yahudi dan bertanya tentang Abdullah bin Salam. Mereka menjawab dia adalah pemimpin kami dan anak pemimpin kami, kemudian Rasulullah saw memanggil Abdullah bin Salam keluar berdepan dengan mereka dan menyatakan keislamannya dan mengajak mereka masuk Islam, agama yang benar. Orang Yahudi yang mendengar itu berkata ,“Kamu bohong”.
Abdullah bin Salam meriwayatkan sebanyak 25 hadis. Beliau  ikut dalam peperangan pembebasan kota Baitul Maqdis dan al-Zabiyah bersama Umar al-Khatab r.a. dan  wafat pada tahun 43 Hijrah di Madinah Munawwarah.


UKASYAH BIN MUHSAN R.A.

Abu Muhshan Ukasyah bin Muhskan bin Hartsan al-Asadi termasuk orang-orang pertama yang memeluk Islam. Beliau ialah seorang panglima perang, telah mengikuti Perang Badar. Semasa berperang, pedang yang digunakannya  patah, maka Rasulullah saw memberikan kayu sebagai ganti pedang, dan beliau menggunakan kayu itu, lalu kayu itu bertukar menjadi pedang dan beliau terus berperang.
Rasulullah saw mengkhabarkan ada 70 ribu orang yang akan masuk syurga tanpa hisab, semasa itu Ukasyah berkata, “Ya Rasulullah, mohon kepada Allah agar aku tergolong bersama mereka”.  Nabi berkata, “Kamu daripada mereka”.  Kemudian bangun seorang lelaki lalu berkata, “Ya Rasulullah, pohonkanlah untukku juga”. Rasulullah saw berkata, “Kamu telah didahului oleh Ukasyah”.
Semasa pemerintahan Abu Bakar r.a., berlaku peperangan dengan orang murtad dan Ukasyah mati syahid.


AMIR BIN ASH R.A.

Beliau ialah Abu Abdullah Amir bin al-Ash bin Wain al-Qurasyi As-shami dan telah memeluk Islam bersama Khalid bin Walid dan Usman bin Talhah
lapan tahun sebelum pembukaan Mekah.
Rasulullah saw melantiknya sebagai  panglima perang ke Syam dan berkata, “Wahai Amir, sesungguhnya aku mahu melantik kamu panglima tentera, semoga Allah menyelamatkan kamu dan memberi  ghanimah kepadamu”.
Amir juga seorang penyair dan boleh membuat syair serta menghafalnya. Pada masa pemerintahan  Umar r.a., beliau dilantik sebagai Gabenor ke Palestin, Jordan dan Mesir dan akhirnya berjaya menguasai negeri-negeri  itu. Beliau wafat pada tahun 43Hijrah pada usia 90 tahun.


AMNAS BIN YASIR R.A.

Nama sebenar beliau ialah Abu al-Yaqzhan Amar bin Yasir bin Amir Syami. Beliau termasuk orang yang awal memeluk agama Islam bersama ayahnya dan ibunya Sumaiyyah. Islam Mereka diseksa dan ibunya merupakan orang pertama yang mati syahid dalam Islam kerana seksaan itu.
Beliau berhijrah ke Madinah , ikut serta dalam peperangan, antaranya ialah Perang Badar, Perang Uhud, Perang Khandak, Perang Bai’ah Ridhwan dan lain-lain.
Beliau  diseksa sehingga terpaksa berpura-pura mencaci Nabi saw. Ketika datang berjumpa Rasulullah saw, beliau ditanya bagaimana hatinya lalu beliau menjawab beliau tetap beriman. Amnas telah meriwayatkan sebanyak 62 hadis. Amnas mati syahid dalam Perang Siffin pada bulan Rabiulawal tahun 37 Hijrah ketika berusia 63 tahun.


IMRAN BIN HUSIN R.A.

Beliau ialah Abu Najid Imran bin Husin bin Ubaid bin Khalaf Khuzae. Beliau memeluk Islam bersama bapa dan kakaknya. Sebelum itu, Rasulullah saw bertanya kepadanya, “Berapa tuhan yang kau sembah sehari?” Dia menjawab, “Tujuh tuhan, enam di bumi, satu di langit”. Nabi saw bertanya, “ Yang mana satu yang engkau kira boleh menyenangkan dan menakutkan?” Dia menjawab, “Yang di langit”.  Nabi berkata, “ Andaikata engkau masuk Islam, akan aku ajarkan dua kalimah yang manfaat kepada engkau”. Tatkala masuk Islam dia bertanya kepada Nabi saw dua kalimah itu. Rasulullah saw pun mengajarkannya iaitu “Ya Allah, ilhamkan aku petunjuk dan ingatkan aku keburukan diriku”.
Beliau mengikuti Nabi saw dalam beberapa peperangan dan meriwayatkan sebanyak 180 hadis. Beliau wafat di Basrah pada tahun 52 Hijrah.


AUF BIN MALIK R.A.

Beliau ialah Abu Abdul Rahman Auf bin Malik bin Abi Auf. Beliau mengikuti peperangan bersama Rasulullah saw . Beliau telah meriwayatkan 67 hadis dan wafat di Damascus pada tahun 73 Hijrah.





Bersambung…

Oleh,

Asta Zawawi