HYPERLINK :-







TARIKH

‘Tarikh’ dalam pengertian pada bahasa ialah ketentuan masa. ‘Tarikh’ dalam istilah bermaksud keterangan yang menerangkan hal ehwal umat dan segala sesuatu yang terjadi pada masa lalu atau sekarang.


BAGAIMANA TARIKH TERJADI?

Tarikh terjadi merujuk kepada kejadian peristiwa besar yang mengkagumkan umat pada waktu itu. Sejak itu orang mula mengukur masa dengan berkata, “Perkara ini terjadi sesudah taufan Nabi Nuh a.s.”, “Perkara ini terjadi setelah Isa al-Masih dilahirkan, maka dinamakan tahun masihi”, “Perkara itu terjadi setelah gajah melanggar Kaabah, maka dinamakan tahun gajah” atau “Perkara itu terjadi setelah hijrah Nabi saw , maka dinamakan tahun Hijrah”.


BILAKAH BERMULANYA TARIKH HIJRAH?

Penggunaan tarikh Hijrah bermula daripada ilham Saidina Umar Al-Khattab. Semasa beliau menjadi khalifah, beliau  menerima surat daripada Abu Musa Asyari tanpa tarikh. Pada ketika itu terfikirlah Umar r.a. dengan berkata, “Alangkah baiknya kalau surat ini ditulis tarikh supaya dapat tahu yang mana surat baru dan yang mana surat lama”.

 Sejak itu beliau pun mengadakan mesyuarat untuk meletakkan tarikh dengan memutuskan tarikh Islam adalah berdasarkan peristiwa hijrah Nabi Muhammad saw. Ahli mesyuarat bersetuju dengan cadangan tersebut kerana peristiwa itu  memisahkan antara hak dengan batil. Apabila tahun telah ditetapkan barulah mereka menetapkan bulan yang mana satu diletakkan pada permulaan tahun. Hasil mesyuarat memutuskan bahawa bulan Muharram adalah bulan pertama di dalam tahun Hijrah. Ini adalah kerana bulan Muharram merupakan bulan penghabisan orang-orang mengerjakan haji manakala bulan hijrah Rasulullah saw ialah bulan Rabiul Awal.

Ingin dijelaskan di sini bahawa dua belas bulan dan nama-namanya memang telah ada sebelum kelahiran Rasulullah saw.

TARIKH RASULLAH SAW  DIHIMPUNKAN

Angkatan pertama menyusun perjalanan hidup Rasulullah saw ialah Urwah bin Zubir bin Al-Awwam  bersama tiga orang lagi sahabatnya iaitu Abban bin Usman bin Affan, Syurahbil bin Saad dan Wahab bin Munabbih. Setelah mereka timbul angkatan kedua yang terdiri daripada Ashim bin Qatadah Al-Anshary, Muhamad bin Muslim  Az-Zuhry dan Abdullah bin Abu Bakar Al-Ansary. Setelah mereka timbul pula tokoh angkatan ketiga yang terdiri daripada Musa bin Aqobah Al-Madani, Ma’mar bin Rashid Al Yamani dan Muhammad bin Ishak bin Yasar. Walau bagaimanapun kebanyakan buku menulis bahawa Az-Zuhri yang menghimpun perjalanan riwayat hidup Rasulullah saw.




TAJUK BUKU

Kebanyakan penulis sejarah hidup Rasulullah saw menggunakan salah satu daripada empat istilah berikut iaitu:

1.    Sirah        : perjalanan
2.    Tarikh      : masa
3.    Kisah      : cerita
4.    Riwayat     : cerita



BANGSA

Asal-usul bangsa adalah satu. Masyarakat yang tinggal di sekitar Sungai Tigris dan Sungai Furat adalah satu bangsa dan mempunyai satu bahasa iaitu Saam. Dari sini mereka terpisah hingga terjadi bangsa Ashur, Babylon di Iraq, bangsa Aram di Syam, bangsa Punisia di Pantai Sumiah, bangsa Ibrani di Palestin, bangsa Arab di Semenanjung Tanah Arab dan bangsa Ethiopia di negeri Habshah.


Bangsa Arab

Bangsa Arab terbahagi kepada tiga:-
1)    Al-Araba’
2)    Al-Aribah
3)    Al-Musta’rabah

Al-Araba’ : Bangsa Arab yang mula-mula sekali, berasal dari keturunan Imram bin Sam bin Nuh, dari situ tumbuh sembilan kaum yang lain:-
1)    ‘Aad
2)    Tsamud
3)    Amim
4)    Amiel
5)    Thasam
6)    Jadies
7)    Imlieq
8)    Jurhum pertama
9)    Wabaar

Inilah bangsa yang tertua setelah Nabi Nuh a.s. di mana mereka tinggal di Babylon dan pada satu  masa, mereka pindah ke Jazirah Arab. Mereka bertamadun, ada pemerintah dan beberapa kerajaan hingga mereka dikalahkan pada satu masa. Menurut Dr. Hamka, bangsa Arab Al-Araba’ ini tidak dapat diselidik lagi kerana terdapat kaum seperti kaum Aad dan Thamud telah dimusnahkan oleh Allah Taala.

Al-Aribah : Arab ini keturunan Jurhum bin Qahtlan. Nabi Allah Ismail a.s. berkahwin dengan puteri keturunan ini. Maka jadilah keturunan ini Arab Musta’ribah (dijadikan Arab). Ada yang menentukan Nabi Ismail a.s. mempunyai 12 orang anak dan mereka beranak-pinak sambil mengembara ke merata tempat dan berkahwin, maka mereka dinamakan Arab Musta’rabah.

Al-Musta’rabah : terjadi dari suku Qahtlan, kemudian timbul pula suku Himyar dan Kahlan. Arab Himyar inilah keturunan Raja Tubba’ di Yaman, Kisra di Parsi, Negurs di Habshah dan Kaisar di Rom.

Dari suku Kahlan lahirlah Azad, Thai, Muhaj, Hamdan, Kindah, Murad dan Lumar. Dari Azad lahir Raja Glassan di Syam, dari sini juga lahir keturunan Aus dan Kharaj. Keturunan Adnan pula adalah keturunan Nabi Muhammad s.a.w dari Arab Musta’rabah.


AGAMA ARAB

Sebelum Rasulullah s.a.w., Arab telah ada ilmu keesaan Allah kerana  pada umumnya beratus tahun yang lampau mereka kerap kali didatangi nabi-nabi dan rasul-rasul membawa agama.

Nabi Hud a.s. telah datang kepada kaum Aad membawa kebenaran tauhid tetapi mereka menolaknya. Mereka suka menyembah kayu, batu dan manusia yang sakti. Mereka tinggal di Ahqaf (bukit) antara Yaman dan Oman. Allah telah memusnahkan mereka.

Nabi Soleh a.s. telah datang kepada kaum Thamud untuk mengajak kepada kebenaran tauhid tetapi mereka menolak. Mereka tinggal di Hijr iaitu antara Hijaz dan Syam. Kaum  ini juga dimusnahkan oleh Allah.

Nabi Shuaib a.s. di utuskan ke Madyan. Menurut Abu Fida, “Penduduk kota Madyan adalah bangsa Arab iaitu kota dekat dengan Ma’an”.

Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. datang ke Mekah, peristiwa terjadinya perigi Zam Zam, dan peristiwa mendirikan Kaabah sebagai tempat suci dan mengEsakan Allah tetapi lama-kelamaan agama ini dirosakkan oleh mereka.




Sebab-sebab kerosakan agama:

1)    Sebahagian mereka menyembah malaikat
     Mereka menganggap para malaikat itu  sebagai tuhan yang mampu
     memberi segala yang diminta oleh manusia. Ada juga dalam kalangan
     mereka beranggapan bahawa malaikat itu ialah puteri-puteri Allah.

2)    Penyembahan jin, roh dan hantu
     Ada juga yang beranggapan jin-jin dan roh-roh mempunyai hubungan 
     dengan malaikat, maka dengan itu ada hubungan dengan tuhan.

3)    Penyembahan bintang-bintang
Sebahagian bangsa Arab menyembah bintang-bintang iaitu
matahari, bulan dan bintang-bintang yang gemerlapan cahayanya.
Mereka beranggapan bintang-bintang itu diberi kuasa penuh oleh
tuhan untuk mengatur alam yang luas ini, oleh itu bintang-bintang patut dihormati, dimuliakan dan disembah kerana bintang-bintang
itu juga menyembah tuhan.

4)    Menyembah berhala
Sebahagian Arab pada masa itu menyembah berhala-berhala atau
arca-arca yang dibuat daripada logam atau kayu atau batu. Sebab-
sebab mereka menyembah batu ialah mereka amat memuliakan
Masjidil Haram dan Kaabah di mana setiap kali mereka mengerjakan
Haji (menurut syariat Nabi Ibrahim a.s.) mereka kembali membawa
batu-batu yang ada di sana ke negeri mereka. Kemudian batu-batu itu diletakkan di tempat yang istimewa lalu batu itu dikeliling oleh mereka seperti Kaabah. Mereka melakukan demikian untuk  mengambil berkat lantaran perasaan cinta dan amat hormat. Lama-kelamaan mereka menyembah batu-batu dan  berhala-berhala dan mereka lupa akan agama Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s.

Antara bangsa Arab yang pertama yang berbuat demikian ialah Amr  bin Lubayyi dari Banu Khuzaah. Dia berjaya merebut kuasa atas Kaabah dan kota Mekah dari tangan Jurhum. Setelah itu dia pergi ke Balqa’ di daerah negeri Syam. Semasa di sana dia melihat penduduk Syam menyembah berhala; dia tertarik hati lalu mengikut kelakuan mereka. Ketika pulang ke Mekah dia membawa satu berhala yang dinamakan Hubal. Sesampai  di Mekah diletakkan berhala itu di Kaabah dan disembah. Ketika itu  diserunya penduduk Hijaz supaya menyembah berhala besar itu terutamanya kepada orang-orang yang datang mengerjakan haji. Penyembahan ini berlanjutan sehingga Mekah dikuasai semula oleh Quraisy dan terdapat lebih daripada 300 buah berhala di sekeliling Kaabah.




TAHYUL DAN ADAT RESAM BANGSA ARAB

Berikut adalah sebahagian tahyul bangsa Arab:-

1)    Sesiapa yang mencela, memaki al-Lata dan al-Uzza (nama-nama berhala) akan dapat penyakit sopak

2)    Melarang membunuh ular kerana jika ular itu mati, hantu ular itu datang membalas

3)    Apabila seseorang itu mati, rohnya menjadi burung yang  disebut “hammah”

4)    Dalam perut manusia ada seekor ular yang akan menggigit sewaktu orang merasa lapar

5)    Jika sesat di jalanan, kain yang dipakai diterbalikan agar tidak sesat

6)    Memakai cincin daripada besi atau tembaga akan menambah kekuatan

7)    Jika mahu musafir, buat simpulan pada sepohon kayu, setelah balik dilihat semula simpulan tersebut. Jika terbuka simpulan itu bermakna isteri telah berlaku curang semasa peninggalannya

8)    Jika berlaku kemarau, rumput-rumput diikat pada ekor-ekor kambing lalu dibakar, kemudian hujan akan turun

9)    Kalau hendak musafir lihatlah burung, jika burung itu terbang  ke kanan tandanya baik, jika  burung terbang ke kiri tandanya sial


MORAL BANGSA ARAB SEBELUM ISLAM

KERUNTUHAN

1)    Sudah menjadi adat kebiasaan orang Arab suka minuman keras sehingga boleh dikira orang yang tidak minum minuman itu, oleh itu pelbagai jenis minuman dihasilkan. Semasa minum arak, acara judi dilakukan, sesiapa yang menang akan menyembelih unta dan diberi kepada fakir miskin dan diagihkan sesama mereka.

2)    Pelacuran sudah menjadi satu kebiasaan. Industri ini dilakukan dengan membuka pusat pelacuran, orang-orang kaya yang mempunyai hamba perempuan telah menjadikan hamba mereka sebagai satu punca pencarian.

3)    Mencuri dan merompak merupakan  satu perkara biasa. Hanya sebahagian kecil yang tidak mencuri. Merompak bukan terhad kepada barangan malah orangpun mereka rompak untuk dijadikan hamba.

4)    Kekejaman dan keganasan dilakukan ke atas manusia walaupun terhadap anak-anak sendiri dan binatang. Anak perempuan ditanam hidup-hidup. Ada kalanya anak perempuan dimasukkan di dalam tong dan dijatuhkan dari tempat yang tinggi. Penyeksaan dilakukan terhadap musuh dengan mengikat mereka di belakang kuda dan kuda itu dipukul supaya berlari kencang. Musuh yang kalah akan disiat-siat kulit mereka, dipotong hidung dan telinganya dan dikalungkan. Ada juga yang menyakiti musuh dan tidak diberi makan sehingga mati. Ada juga yang  mengikat unta di kuburan tanpa diberi makan sehingga mati dan unta ini akan menjadi tunggangan setelah mati.

5)    Kotor pada makanan dan minuman: tiada larangan dalam hal makan dan minum bangsa Arab, oleh itu mereka boleh makan walaupun benda yang jijik dan kotor seperti bangkai, darah binatang dan darah beku.

6)    Tidak sopan: tidak ada adap sopan santun di dalam kehidupan mereka. Contohnya, lelaki dan perempuan mengelilingi Kaabah dalam keadaan telanjang, begitu juga mandi dalam keadaan telanjang dan juga buang air, hubungan suami-isteri tidak malu diceritakan kepada orang lain.

7)    Bertengkar: sering berlaku pertengkaran  antara satu sama lain walaupun dalam perkara yang kecil. Ada juga pertengkaran antara seorang dari satu kabilah dengan seorang dari satu kabilah akhirnya membawa kepada berlakunya pertempuran kabilah. Menurut riwayat, peperangan saudara terjadi  dalam kalangan Arab sebanyak 132 kali, jumlah ini tidak termasuk peperangan yang kecil.
Sebagai contoh:
a)    Peperangan Dahis akibat perlawanan dua ekor kuda dengan menuduh lawan menipu, akhirnya terjadi peperangan selama 40 tahun.
b)    Peperangan Basus, nama unta kepunyaan seorang perempuan dari satu kabilah yang pergi ke tempat perairan suku Kulaib bin Wail. Kulaib memanah unta dan melukai kaki unta, akibatnya  kabilah perempuan ini menuntut balas lalu terjadi peperangan.


KEMAJUAN

8)    Perniagaan : keturunan Arab Qahthan adalah maju dalam perniagaan di Yaman, barang perdagangan adalah barang-barang keluaran dari tanah air seperti makanan, pakaian dan lain-lain. Jika dibandingkan kemajuan perniagaan Yaman dengan Tanah Hijaz, Tanah Hijaz amat jauh ketinggalan. Namun, lama-kelamaan orang Hijaz pandai berniaga sehingga Arab Adnan dari keturunan Nabi Ismail a.s. pesat berniaga ke luar negeri.

9)    Pertukangan : orang Arab Yaman amat mahir, mereka dapat mendirikan gedung-gedung yang besar dan indah.

10)      Kemajuan lain ialah sulam-menyulam, menenun, memintal, kesusasteraan, syair-syair dan sajak-sajak, pidato hingga didirikan sebuah gedung untuk perlawanan pidato. Selain itu pengetahuan tentang bintang-bintang, ubat-ubatan, ilmu hisab dan rahsia rupa orang.


BANGSA QURAISY

     Asal-usul bangsa Quraisy ialah daripada Nabi Ismail bin Nabi Ibrahim a.s. yang dibesarkan di Mekah dan berkahwin dengan suku Jurhum Kedua  (Arab Aribah). Salah seorang cucu  Nabi Ismail a.s. bernama Adnan, maka lahirlah keturunan bangsa Arab yang dinamakan Adnaniah yang menjadi suku Arab yang mulia dan terpelihara salasilah keturunan mereka. Adnan ada beberapa orang anak, yang paling terkenal ialah Maad bin Adnan, Mudhor dan Fikir. Keturunan Fikir inilah yang menurunkan suku Quraisy.

 Apakah erti QURAISY? Ahli bahasa mempunyai berbagai pendapat tentang makna Quraisy, ada yang berpendapat ia berasal daripada perkataan ‘Qirsy’ iaitu anjing laut yang giginya memotong binatang laut yang lain yang amat ditakuti dan menghalang perahu-perahu yang berjalan di permukaan laut. Ada yang berpendapat ia berasal daripada perkataan ‘Quraisy’ yang bererti apa-apa yang dikumpulkan di sana-sini. Ada yang berpendapat ia berasal daripada perkataan ‘Qarrasa’ iaitu pencarian dan perdagangan. Ada juga yang berkata ia berasal daripada perkataan ‘taqarrasa’ iaitu menyelidik kekurangan orang. Orang pertama yang menggunakan perkataan Quraisy ialah Quraish bin Malik bin Annadar bin Kinanah. Dia adalah daripada keturunan Fihir, seorang yang kuat dan sangat menjaga Kaabah semasa keturunan Himyar datang ke kota Mekah untuk membongkar Kaabah. Fihir dapat bertindak menghalang tentera Himyar itu.

Termasuk salah seorang cucu Fihir adalah Qushaiy bin Kilab, yang  gagah mengambil balik kuasa pimpinan kota Mekah yang telah dikuasai oleh Khuzaah setelah berjaya merampas  dari Jurhum. Qushaiy  mempunyai sifat-sifat pemurah di mana beliau selalu memberi makan kepada orang-orang yang datang ke Mekah untuk menunaikan haji. Selain itu, beliau menjadi ketua Majlis Nadwa tempat mereka mengemukakan pendapat.


Penimbusan dan Penggalian Perigi Zam Zam

Mekah yang dikuasai oleh suku Jurhum Kedua adalah keturunan Nabi Ismail a.s. Hampir 200 tahun lamanya berlaku peperangan  merebut kuasa dengan suku Qathuraa yang merupakan saudara mereka juga. Kali ini Jurhum Kedua menjadi kuat lalu dapat terus berkuasa dan terjadilah kezaliman dan sebagainya. Sekali lagi Jurhum Kedua berhadapan dengan musuh iaitu suku Khuzaah. Mereka datang ke Mekah dan minta untuk tinggal dekat dengan rumah Allah. Pemerintah Jurhum tidak membenarkan mereka tinggal di situ, maka terjadilah peperangan dan Jurhum kalah dan diusir.

Sebelum mereka kalah seorang lelaki bernama Mudhah bin Amier Al-Jurhum telah pergi ke telaga Zam Zam lalu dikoreknya perigi itu lebih dalam, kemudian masuk ke dalam Kaabah lalu diambilnya kekayaan yang ada dalam Kaabah yang telah diberi oleh orang ramai. Antaranya ialah dua buah pintu emas, lalu ditanamkannya di dalam perigi ZamZam dan ditimbusnya perigi itu sehingga tidak diketahui orang supaya pihak yang baru menguasai Mekah (suku Khuzaah) tidak dapat bertahan lama kerana tiada punca air.

Tempoh pemerintahan Khuzaah hampir 500 tahun. Pada abad ke-7 Masihi seorang yang bernama Kusay merebut kekuasaan. Kusay adalah keturunan  Nabi Ismail a.s. bin Nabi Ibrahim a.s. (suku Jurhum Kedua).  Kusay berbaik-baik dengan orang-orang Khuzaah dan orang yang memegang anak kunci Kaabah iaitu Hulail bin Hubsiyah (memang orang Khuzaah lebih cekap daripada orang Jurhum).

Tidak lama kemudian Kusay berkahwin dengan anak perempuan Hulai yang bernama Hubbaa. Pada masa itu Kusay memajukan diri dengan berdagang sehingga dia dihormati. Tatkala Hulail hampir wafat, dia berwasiat menyerahkan anak kunci itu kepada Hubbaa supaya kekuasaan kekal di tangan Khuzaah. Apabila Hubbaa tidak mampu  menjalankan tugas dengan baik, beliau menyerahkan kuasa pemegang kunci itu kepada Abu Gibsyam yang juga seorang Khuzaah tetapi seorang pemabuk. Anak kunci tersebut tidak diberikan kepada suaminya kerana suaminya bukan orang Khuzaah.

Pada satu hari  Abu Gibsyam menyerahkan anak kunci itu kepada Kusay untuk ditukar dengan setong arak. Di sinilah Kusay mendapat balik anak kunci Kaabah itu. Mulalah Kusay mencari sokongan daripada  orang Quraisy. Orang-orang Khuzaah tidak dapat berbuat apa-apa melainkan memprotes dengan lisan sahaja. Orang  Khuzaah telah jatuh ke tangan Kusay.
 
Kusay menjadi ketua pemerintah dan orang-orang Khuzaah terusir dari Mekah. Kusay pun membahagi-bahagikan kerja kepada keluarga mereka. Semenjak Kusay berkuasa, pemerintahan dapat direbut semula oleh orang yang berketurunan Nabi Ismail a.s. Setelah Kusay, Mekah diperintah oleh anaknya Abd Dar dan Abdu Manaf. Setelah mereka berdua meninggal dunia, maka pemerintahan Mekah dikuasai oleh anak-anak Abd Dar sahaja. Kuasa pemerintahan tidak diberi langsung kepada anak-anak Abdul Manaf. Ini menyebabkan berlaku ketidakpuasan hati dan hampir-hampir bertempur tetapi dapat didamaikan oleh suku Kusay.

Akhirnya sebahagian jawatan pemerintahan diserahkan kepada anak Abdul Manaf. Yang sulung bernama Hasyim yang mempunyai fikiran yang cerdik, kedua bernama Abdul Syamsu, ketiga bernama Naufal dan yang keempat bernama Abdul Mutalib. Hasyim memerintah Mekah dan berkahwin pula dengan orang Yathrib  lalu mendapat anak bernama Syaibah. Apabila Hisyam tua dan meninggal dunia, kuasa pemerintahan diberi kepada adiknya yang bernama Abdul Mutalib.

 Setelah Abdul Mutalib tua, kuasa  pemerintahan diberikan kepada Syaibah yang tinggal di Yathrib. Syaibah adalah anak bongsu Hasyim  yang tidak  dikenali oleh masyarakat Mekah , tatkala dibawa balik oleh Abdul Mutalib, orang ramai menyangka dia ialah hamba kepada Abdul Mutalib. Walaupun setelah diterangkan bahawa Syaibah ini adalah anak Hasyim namun mereka meneruskan panggilan Abdul Mutalib itu kepada Syaibah. Ini adalah kerana perkataan Al-Mutalib itu adalah bermakna Pembonceng dan Syaibah pula membonceng unta bersama Abdul Mutalib dari Yathrib.

 Sebelum Abdul Mutalib bin Abd Manaf wafat, diserahkan  jawatan utama sidanah (pemegang kunci Kaabah) kepada Syaibah. Setelah Abdul Mutalib wafat maka Syaibah menjadi pemerintah Mekah. Nama Syaibah disebut Abdul Mutalib dan tidak dipanggil Syaibah lagi. Semenjak itu dia menjadi pemerintah dan bermimpi supaya mengorek semula perigi Zam Zam. Hadis daripada Ali bin Abu Talib , “Sesungguhnya aku tidur  di Al-Hijr. Tiba-tiba aku didatangi seseorang lalu dia berkata kepadaku, ‘Gali-lah Tayyibah’, aku bertanya apakah, ‘Tayyibah itu?’ Kemudian dia meninggalkan aku. Apabila esok aku bermimpi lagi dan dia berkata ‘Gali-lah Birrah’ , aku bertanya, ‘Apakah Birrah itu?’ Kemudian dia pergi meninggalkan aku. Apabila esoknya aku bermimpa lagi dan dia berkata kepadaku ‘Gali-lah Al-Madhunah’, aku bertanya, ‘Apakah Al-Madhunah itu?’, dia pun pergi. Apabila hari esoknya aku bermimpi lagi dan dia berkata kepadaku ‘Gali-lah ZamZam’’, aku bertanya, ‘Apakah Zam Zam itu?’ Katanya, ‘Ia tidak kering air selama-lamaya dan berkurang, boleh memberi minum jemaah haji yang lebih ramai,  ia berada di antara hampas makanan dan darah, di sisi galian burung gagak yang berkaki putih, di sisi sarang semut. ’ ”

Akhirnya Syaibah Bin Hasyim (datuk Nabi Muhammad saw) dikenali sebagai Abdul Mutalib dan memegang kunci Kaabah.


Bersambung...

Oleh:

Asta Zawawi