Usul adalah dasar dan fiqh adalah kefahaman. Usul fiqh adalah istilah yang digunakan untuk membahaskan bagaimana hukum fiqh dikeluarkan daripada Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad saw. sehingga menjadi satu keputusan yang kukuh dengan dalil-dalil yang betul. Dari situ barulah menjadi Ilmu Fiqh, maka cara penilaian fiqh ini telah lama dijadikan teori oleh ulama silam yang suka mengkaji jalan pengeluaran hukum-hukum. Orang-orang yang mampu mengeluarkan hukum-hukum itu perlu kepada kuantiti dan kualiti ilmu pengetahuan agama khususnya Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad saw.
Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad saw ini adalah dalam bahasa Arab. Sudah tentulah mereka perlu menguasai bahasa Arab dengan baik dan menghafal Al-Quran, hadis dan ilmu lain sehingga ulama yang mampu itu dipanggil Mujtahid.
Skop Perbincangan
Skop perbincangan ilmu ini adalah bagaimana keputusan hukum-hukum daripada Al-Quran dan hadis itu dikeluarkan dan Mujtahid akan bertanggungjawab kepada orang ramai yang mengamalkannya di dalam kehidupan harian mereka. Di sini dimulakan perbincangan status dalil yang dinamakan qathi iaitu semua ayat Al-Quran dan hadis Nabi saw. yang mutawatir dan status dalil yang dinamakan zanni iaitu hadis Nabi saw. yang martabat ahad.
Apabila mereka telah berjaya memutuskan mana-mana hadis yang qathi dan zanni, maka bolehlah perbincangan hebat dibuat bagi menilai kata-kata dalam Al-Quran dan hadis sebelum dikeluarkan hukum-hukum. Di sinilah akan lahir satu hukum yang mungkin ada sedikit kelainan antara para mujtahid dengan mujtahid yang lain, maka tidak hairanlah terdapat sedikit perselisihan hukum-hukum yang dikeluarkan oleh mereka yang dirahmati Allah ini.
Pertumbuhan Usul Fiqh
Segala permasalahan ibadah pada zaman Rasulullah saw. adalah di tangan Rasulullah saw. Setelah wafatnya Baginda, permasalahan mula diputuskan oleh sahabat-sahabat yang faqih seperti Ibnu Mas’ud, Ali bin Abu Talib, Umar al-Khatab dan lain-lain. Ini amat perlu pada masa itu kerana timbul persoalan-persoalan baru yang memerlukan fatwa.
Sebagai contoh: Dari Mujahid, “Ketika kami sahabat-sahabat Ibnu Abbas (Tawus, Said bin Jabir dan Akrimah) berkumpul di dalam masjid, Ibnu Abbas sedang solat.
Ketika itu datang seorang lelaki bertanya, “Siapa yang boleh mengeluarkan fatwa?”
Kami berkata, “Tanyalah” dan dia bertanya, “Sesungguhnya aku tatkala buang air kecil keluar sekali air mani”.
Kami pun bertanya kepada dia, “Yang boleh menjadi anakkah?”
Dia menjawab, “Ya”.
Kami memfatwakan, “Wajib mandi”
Sambil lelaki itu pergi dia berkata, :Sesungguhnya kami ini kepunyaan Allah, dan sesungguhnya kepadaNya kami kembali”.
Ibnu Abbas cepat-cepat menamatkan solat.
Kemudian Ibnu Abbas berkata kepada Akrimah, “Panggil semua lelaki menghadap saya. Apakah engkau melihat, apa yang engkau fatwakan terhadap lelaki ini berdasarkan kitab Allah?”
Kami jawab, “Tidak”.
Dia bertanya, “Dari Rasulullah saw.?”
Kami jawab, “Tidak”.
Dia bertanya lagi, “Dari sahabat Rasulullah?
Kami jawab, “Tidak”.
Dia bertanya, “Dari siapa?”
Kami jawab, “Dari fikiran kami”.
Ibnu Abbas berkata, “Rasulullah saw. bersabda, “Seorang faqih lebih dahsyat gangguan syaitan daripada seribu ahli ibadah”.
Datanglah lelaki itu kepada Ibnu Abbas, maka ditanya Ibnu Abbas, “Apakah engkau rasa ada syahwat pada kemaluan engkau?”
Dia menjawab, “Tidak”.
“Engkau rasa takut pada jasad engkau?”
“Tidak”
Maka berfatwalah Ibnu Abbas, “Itu hanya kesejukan, cukuplah wuduk sahaja”. (Kitab Fiqh Wadih oleh Prof. Dr. Muhammad Baker Ismail, m.s. 76).
Jika kita melihat pada masa tabiin, kita dapati keputusan-keputusan fiqh dibuat dengan rancak sekali kerana semakin banyak berlaku perkara-perkara baru. Antara mereka yang mampu mengeluarkan fatwapada masa itu ialah Said bin Musaiyab di Madinah, lqamah, Ibrahim dan Nakhaie di Iraq. Maka pada masa itu mulalah fatwa-fatwa sahabat menjadi bahan-bahan rujukan di dalam kegunaan mereka.
Selepas tempoh ini, barulah munculnya Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Syafie dan Imam Ahmad Hanbali yang mengumpulkan dan menambah pandangan mereka dalam kesemua pandangan tabiin dan sahabat dan mereka membuat andaian-andaian. Akhirnya wujudlah kitab-kitab fiqh yang lengkap dan muncullah mazhab-mazhab berdasarkan nama-nama mereka seperti yang dikenali sekarang ini. Disebabkan kualiti dan kuantiti ilmu yang tidak sama pada imam-imam ini, maka lahirlah pandangan yang berbeza-beza.
Topik-Topik Utama Dalam Ilmu Usul Fiqh
1) Hukum Syarak
2) Hakim iaitu Allah
3) Perbuatan orang mukallaf
4) Perbincangan diri orang mukallaf
5) Tujuan hukum syarak
6) Ijtihad
7) Fatwa
Bab Pertama
HUKUM SYARAK
Sebelum kita memberi takrif hukum syarak, di sini eloklah dibincangkan apa makna hukum syarak. Hukum bermakna ketetapan dan syarak ialah jalan, oleh itu hukum syarak ialah ketetapan jalan Allah mengenai
1) satu tuntutan (suruhan dan tegahan) dan pilihan yang datang daripada pembuat syarak (iaitu Allah) yang membebankan orang-orang mukallaf yang dinamakan Hukum Taklifi
2) ketetapan yang berdasarkan situasi sama ada kewajipan itu perlu diteruskan, dihentikan atau ditangguhkan dan ini dinamakan Hukum Waddie
HUKUM TAKLIFI
Hukum taklifi ada lima perkara iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus.
WAJIB
Wajib adalah perkara yang dimestikan Allah terhadap orang mukallaf diberi ganjaran. Menurut jumhur ulamak, wajib adalah seerti dengan fardu kecuali Imam Abu Hanifah.
Bagaimana wajib dapat dikesan di dalam Al-Quran dan hadis Rasulullah saw.? Secara ringkas disebutkn di sini, kewajipan dapat dikesan melalui kata-kata perintah dalam Al-Quran dan hadis yang memberi makna wajib selagi tidak ada keterangan lain yang membawa kepada makna tidak wajib.
Contoh :
( Dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat)
Maka perkataan “dirikanlah” dan “keluarkanlah” adalah kata perintah.
Maka jelaslah dari sini dikeluarkan hukum wajib bagi melaksanakan solat dan zakat.
Wajib akan dibahagikan kepada beberapa bahagian berdasarkan kepada waktu, batasan, bilangan dan lain-lain. Wajib yang berkaitan dengan waktu dinamakan wajib mutlak dan wajib mukaiyat.
WAJIB MUTLAK
Wajib mutlak ialah satu tuntutan syarak kepada orang mukallaf untuk menunaikan kewajipan dengan tidak terikat dengan masa, seseorang mukallaf boleh menunaikan kewajipan pada bila-bila masa. Sebagai contoh, seseorang yang bersumpah boleh membayar kiffarah dengan kadar yang segera atau menangguh ke satu masa yang sesuai.
WAJIB MUKAIYAT
Wajib Mukaiyat ialah tuntutan syarak kepada orang mukallaf untuk menunaikan kewajipan dengan terikat pada masa-masa tertentu. Seseorang mukallaf itu mestilah menunaikan kewajipan mengikut masa yang telah ditetapkan Allah, jika terabai dia akan berdosa.
Contoh yang pertama:
Solat telahpun ditentukan waktunya sebanyak lima kali sehari semalam kecuali jika ada sebab-sebab yang diharuskan oleh syarak seperti orang yang didatangi haid.
Contoh yang kedua:
Puasa dalam bulan Ramadhan telah ditetapkan waktunya di dalam bulan Ramadhan. Sesiapa yang melakukan puasa Ramadhan di luar bulan itu, maka puasa tidak terima oleh Allah Taala. Ketentuan bulan Ramadhan adalah dijelaskan oleh Allah di dalam Al-Quran dan dilakukan oleh Rasulullah saw. dan sahabat-sahabat sehingga ke hari ini.
Contoh yang ketiga:
Haji adalah rukun Islam, waktu menunaikan haji telah pun ditetapkan oleh Allah dan menjadi syarat sah haji dilakukan bermula bulan Syawal hingga Zulhijjah di mana sebahagian rukun-rukun seperti wuquf di Arafah mesti dilakukan pada 9 Zulhijjah setelah tergelincirnya matahari. Jika ditunaikan sebelum itu atau selepas waktu yang ditetapkan maka tidak diterima ibadah haji itu.
Di bawah tajuk wajib mukaiyat ini terdapat lagi pecahan wajib ketika pelaksanaan kerja iaitu wajib muassa’ dan wajib mudayya’. Wajib muassa’ ialah waktu melakukan kewajipan adalah panjang sedangkan menunaikan kewajipan itu sekejap sahaja.
Contoh yang pertama:
Waktu solat Zohor bermula pada pukul 1.30 petang dan berakhir pada pukul 4.30 petang (lebih kurang), sedangkan menunaikan kewajipan itu cuma empat atau lima minit sahaja. Persoalan yang timbul ialah oleh kerana waktu itu panjang dan dibolehkan berbagai solat sunat lain dikerjakan di dalam waktu itu maka wajiblah kandungan niat (fardhu zohor) bagi membezakan solat-solat lain yang dikerjakan oleh mereka.
Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Syafie dan Imam Hanbali berpendapat adalah wajib ditentukan niat pada waktu pelaksanaan yang luas ini (muassa’). Jika tidak ditentukan dalam kandungan niat solat apa yang hendak ditunaikan, mungkin perbuatan itu tidaklah berbeza dengan solat-solat lain yang boleh dilakukan di dalam waktu zohor itu (1.30 hingga 4.30 petang).
Contoh yang kedua:
Haji adalah satu rukun Islam, melaksanakannya adalah wajib muassa’ kerana dia dibolehkan menunaikan haji pada mana-mana tahun yang sesuai, dan wajib berazam dikerjakan. Ini adalah pendapat Imam Syafie manakala bagi Imam Abu Hanifah kewajipan haji adalah wajib mudayya’ yang wajib dilakukan segera.
Bersambung…
Oleh : Asta Zawawi
|